Khamis, Februari 05, 2009

Hikmah Allah Akan Kesabaran Hamba-Nya

Sabar.

Perkataan yang amat mudah disebut namun amat berat untuk ditanggung apabila diri ditimpa musibah yang amat berat. Orang yang menasihati begitu mudah mengungkapkan perkataan sabar kepada yang dinasihati. Alangkah beratnya bebanan yang ditanggung apabila ditimpa musibah dan musibah itu ialah apabila diri kehilangan sesuatu yang tersayang samada orang, pekerjaan, kereta ataupun sebagainya. Apabila ditimpa musibah ini semangat untuk bangun itu tidak dapat untuk dilakukan bagaikan dihempap batu yang besar di atas kepala.

Sekiranya kita kembali kepada role model teragung kita iaitu Rasulullah. Baginda merupakan seorang insan yang sangat penyabar orangnya. Ini dapat dilihat daripada kesabaran baginda menghadapi cemuhan daripada orang kafir Quraisy. Bagindan menerima siksaan dalam pelbagai bentuk samada fizikal mahupun emosi. Namun baginda tetap bersabar dan meneruskan dakwah Islam kepada masyarakat Arab pada masa itu. Adakah baginda tidak merasai kehilangan orang yang tersayang? Ya! Baginda melalui semua itu dengan kesabaran. Baginda kehilangan kedua-dua ayah dan ibu, datuk, anak dan juga isteri.

Namun begitu baginda mempunyai penghibur hati dan tempat mengadu apabila terasa diri amat berat menanggung dugaan. Ibarat kita mengadu kepada ayah ataupun ibu apabila inginkan sesuatu. Begitulah juga apabila baginda terasa berat menanggung dugaan maka baginda akan meminta daripada Yang Maha Esa supaya ditambahkan kesabaran dalam diri. Sayyidatina Aisyah r.a pernah berkata :

Rasulullah pernah tidak kenyang tiga hari berturut-turut tanpa sebarang makanan”

Sifat kesabaran ini akan membawa kemenangan di dunia mahupun di akhirat. Sabar dalam menuntut ilmu, sabar dalam menahan nafsu, sabar dalam menghadapi dugaan dan natijah daripada itu ialah kejayaan yang amat manis sekali yang sukat diungkapkan oleh kata-kata. Hanya yang melaluinya sahaja akan dapat merasai kamanisan nikmat sabar itu. Sayyid Qutb pernah berkata :

“ Kemenangan (berupa surga) itu adalah disimpan untuk mereka yang wajar menerimanya dan tiada yang wajar menerimanya melainkan orang-orang yang sanggup berdiri teguh sehinggan akhir. Mereka sanggup teguh menghadapi kesusahan dan penderitaan, sanggup teguh menghadapi goncangan-goncangan dan mereka sanggup menghadapi rempuhan rebut badai”

Inilah kejayaan yang terhasil daripada sifat yang mulia iaitu sabar dan balasannya adalah syurga yang penuh dengan kenikmatan.

Mintalah daripada Allah agar hati-hati kita sentiasa dipenuhi dengan kesabaran yang berterusan supaya kita mampu menanggung dugaan yang bakal ditempuhi kelak. Berdoalah dengan penuh kekhusyukkan dan pengharapan agar doa kita ini diterima dan dimakbulkan oleh Allah. Firman Allah yang bermaksud :

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina (surah Ghafir: 60).

Rasulullah juga pernah bersabda yang bermaksud :

Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati yang lalai dan alpa. (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).

Oleh itu bersabarlah mengadapi segala dugaan dan cubaan yang bakal ditempuhi kerana itu adalah tanda Allah sayangkan kita. Dia akan menguji kita untuk melihat tahap kesabaran kita menghadapi dugaan itu. Sekiranya kita sabar dan tabah maka balasannya adalah syurga.

Tiada ulasan: